Lawatan ini telah berlangsung dari 1 Sept hingga 3 Sept 2023 dan diketuai oleh Tuan Adam Valentine, Timbalan Setiausaha Tetap II. Rombongan ini memulakan perjalanan pada jam 2.00 pm dan tiba di Hotel Perkasa Kundasang pada jam 5pm.

Pada hari kedua, rombongan ini telah melawat ladang Sabah Tea yang terletak kira-kira 20KM dari pekan Ranau. En. Mesiden telah menjadi “pemandu pelancong” yang membawa rombongan ini melawat kilang pemprosesan daun teh. Penerangan yang panjang-lebar telah diberikan tentang proses-proses yang terlibat dalam pemprosesan daun teh yang mana kualiti teh dikekalkan sepanjang proses tersebut. Satu fakta yang membanggakan negeri Sabah adalah daun teh keluaran Sabah Tea telah diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Daun teh yang telah diproses banyak diimport ke dalam dan luar negara untuk dipakejkan semula sebagai produk baru atau dijenamakan semula.

Tempat seterusnya yang dilawat adalah Bombon Kg. Marakau yang menjalankan aktiviti inovasi tagal. Tagal merupakan satu usaha memelihara ikan di sungai dengan cara melarang sesiapa saja daripada menangkap ikan di sungai terbabit. Mengikut taklimat yang diberikan oleh pekerja di sana, tagal di tempat itu dipanggil inovasi tagal kerana ia pada mulanya merupakan tempat ujian pemeliharaan ikan Koi Jepun oleh Jabatan Perikanan pada tahun 2004. Sebelum ini ikan Koi hanya dipelihara dalam kolam air tawar saja sebagai ikan hiasan. Percubaan itu mendapati iklim dan persekitaran sungai di Kg. Marakau sangat sesuai untuk pemeliharaan ikan Koi yang mana ikan tersebut boleh hidup, membiak dan membesar di sungai berkenaan. Tagal sungai ini mempunyai tiga zon iaitu Zon Hijau, Zon Kuning dan Zon Merah.

Tempat lawatan selanjutnya adalah di Desa Cattle Farm, Kundasang yang mana penerangan tentang proses pengumpulan susu dan pembiakan lembu telah diberikan dengan panjang lebar.

Pada hari terakhir, rombongan ini telah melawat ke Taman Negara Sabah. Antara lokasi yang sempat dilawat adalah Timpohon Gate, Air Terjun Carson Fall dan Kiau Gap View yang merupakan tempat peringatan bagi mangsa-mangsa korban gempa bumi pada tahun 2015.