KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai panduan pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini. Hala tuju itu yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, menggariskan tiga teras utama yang masing-masing diwakili huruf S, M dan J yang diambil daripada singkatan SMJ. Hajiji berkata, huruf S mewakili sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, diikuti huruf M yang mewakili modal insan dan kesejahteraan rakyat, manakala huruf J mewakili jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau. Beliau berkata, tiga teras itu akan dipacu lima pemboleh daya iaitu kemampuan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan dan kecekapan penyampaian, kecemerlangan tadbir urus berintegriti dan kerajaan digital.

Sumber: Berita Harian