KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, lebih kurang 20,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan dalam sektor perindustrian dalam tempoh tahun 2024 sehingga 2035.

Beliau berkata, ini merangkumi pelbagai bidang profesional dan pengurusan seperti jurutera, juruteknik dan pengoperasian. Tambahnya, anggaran peluang pekerjaan yang akan diwujudkan ini adalah melibatkan 10 syarikat dalam pelbagai bidang pelaburan termasuklah industri keluli hijau, simen, pengurusan sisa, hab logistik, pemprosesan makanan laut dan lain-lain.

“Peluang-peluang pekerjaan ini dijangka akan diwujudkan dalam tempoh tahun 2024 sehingga 2035 dengan mengambil kira tempoh pelaksanaan sesuatu pelaburan tersebut.

“Jumlah peluang pekerjaan ini adalah tidak termasuk pelaburan oleh syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. dan Kumpulan Kibing yang mana masing-masing telah mewujudkan sejumlah 500 peluang pekerjaan bagi syarikat SK Nexilis Malaysia dan 2,100 peluang pekerjaan bagi syarikat Kumpulan Kibing kepada rakyat Sabah.

“Pelaburan asing dan domestik dalam sektor perindustrian adalah amat penting kepada Sabah dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini,” katanya kepada Datuk Dr. Haji Jaujan Sambakong (Sulabayan) yang bertanya berapakah jumlah peluang pekerjaan yang disediakan hasil dari jutaan nilai pelaburan-pelaburan yang diumumkan datang ke Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Phoong berkata, Kementeriannya akan sentiasa mempergiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan sama ada pelaburan asing atau domestik ke Sabah agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan sekaligus mengurangkan brain drain di negeri ini.