Kibing bakal bina kilang pembuatan kaca solar baharu bernilai RM7.2b di Sabah

Print
Email

Hajiji (tengah) dan Pengerusi Kumpulan Kibing, Yu Qibing menyaksikan majlis menandatangani MoU. Kerajaan Negeri diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Thomas Logijin (duduk, dua kiri) dan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Aisah Mohd Yusof (duduk, kiri) manakala Kibing diwakili Celine Lee (duduk, dua kanan) dan William Chen (duduk, kanan).
Photo credit: Warta Oriental

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat Kibing Group, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd untuk mengembangkan pelaburannya di Sabah.

Disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam satu majlis yang diadakan di pejabat SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini hari ini, MoU itu menandakan komitmen SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd untuk membina kilang pembuatan kaca solar dengan enam barisan pengeluaran baharu di Kimanis, Papar.

Ketua Menteri berkata, perkembangan terbaru ini membuktikan usaha Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan pertumbuhan sektor perindustriannya berkesan.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif “Mesra Pelabur Sabah” seperti yang digariskan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya telah meningkatkan keyakinan pelabur dan dalam menarik syarikat asing ke negeri ini dan untuk pelaburan sedia ada berkembang

Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, berdedikasi untuk menyelaras dan memudahkan pelaburan ini bagi memastikan pelaksanaannya berjaya dan memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini, katanya.

Pelaburan baharu SBH Kibing dianggarkan berjumlah RM7.2 bilion yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Kumpulan Kibing telah pun melabur lebih RM3 bilion dalam kilang pemprosesan pasir silika dan kilang pembuatan kaca solar yang menjana 1,800 pekerjaan di KKIP.

Syarikat itu telah menambah barisan pengeluaran ketiga kepada kemudahan sedia ada di KKIP yang mewakili pelaburan tambahan dianggarkan RM700 juta dan mewujudkan kira-kira 600 peluang pekerjaan tambahan.

Kilang pembuatan SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd pada masa ini mengeluarkan 1,200 tan kaca solar setiap hari, yang akan meningkat dua kali ganda kepada 2,400 tan sehari menjelang bulan ini (Jun 2024).

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang, antara lain.

sumber : https://wartaoriental.com/2024/06/11/kibing-bakal-bina-kilang-pembuatan-kaca-solar-baharu-bernilai-rm7-2-bilion-di-sabah/

SHARE THIS ARTICLE
RELATED ARTICLES

💐🌷🌹🌸🌺Salam Malaysia Madani, Salam Sabah Maju Jaya, Selamat melayari laman web MIDE Sabah!💐🌷🌹🌸🌺

Scroll to Top